1.0 Pengenalan
Kementerian Pertanian telah ditubuhkan pada tahun 1955 dengan tiga portfolio di bawahnya iaitu pertanian, perhutanan dan perkhidmatan haiwan. Sebelum tahun 2004, kementerian ini bertukar nama dan portfolio sehinggalah selepas pembentukan Kabinet pada 27 Mac 2004 dan dikenali sebagai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (KPIAT). Tiga misi kementerian iaitu mentransformasikan sektor pertanian agar menjadi sektor yang moden, dinamik dan kompetitif seterusnya menjadikan Malaysia kompetitif sebagai pengeluar utama makanan dunia dan pertanian sebagai salah satu jentera pertumbuhan ekonomi Negara serta dilihat mampu merealisasikan visi kementerian sebagai peneraju transformasi pertanian.
Sejajar dengan itu, fungsi kementerian adalah titik tolak kepada usaha mencapai sasaran tersebut. Ia merangkumi menggubal dan merancang dasar, strategi serta program pembangunan pertanian, menilai serta menyelaras pelaksanaan projek atau program pembangunan pertanian, menyediakan khidmat analisis ekonomi termasuk kerja mengumpul, menganalisis dan menyimpan semula maklumat atau data pertanian, merangka dan melaksanakan program publisiti khidmat rujukan dan penyelidikan serta memperkenalkan sistem maklumat pengurusan pertanian, memastikan penyertaan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam rancangan-rancangan antarabangsa dan bertindak sebagai agensi sehenti kepada pihak swasta untuk mendapatkan khidmat nasihat dan kepakaran dalam sektor pertanian.Sektor pertanian telah memainkan peranan yang penting pada awal tahun 1920-an menerusi industri getah yang mengangkat nama Malaysia sebagai pengeluar getah asli utama dunia sehingga tahun 1980-an. Ekonomi negara selepas merdeka dimonopoli oleh aktiviti-aktiviti pertanian dan perlombongan sehinggakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada ketika itu telah menunjukkan sumbangan sektor petanian dan perlombongan mencecah angka 46 peratus.
Definisi pertanian yang sebenarnya merujuk kepada perihal pengeluaran makanan dan barangan melalui perkebunan, penanaman, penternakan dan perhutanan. Pertanian merupakan pembangunan penting kepada kebangkitan tamadun apabila penanaman dan penternakan membawa kepada lebihan makanan dan seterusnya membolehkan pembangunan dalam masyarakat yang semakin ramai dan berkelas. Sektor pertanian merupakan antara aktiviti ekonomi yang dikategorikan sebagai sektor utama ( primer ) selain daripada perlombongan dan kuari (Da Silva & Rakin, 2013). Sumber pertanian meliputi semua hasil keluaran pertanian, ternakan, perikanan dan perhutanan. Namun, pengeluaran hasil pertanian ini telah mengalami kemerosotan pengeluaran.Masalah pengurusan sumber pertanian yang sering mendapat perhatian masyarakat terdiri daripada pencemaran air dan udara, ketiadaan pengezonan pertanian, kegagalan pasaran dan sebagainya (Nik Hashim Mustapha & Mohd. Fauzi Mohd Jani, 1995).
2.0 Kepentingan bidang pertanian
Sektor pertanian yang merupakan sektor ekonomi primer amat penting dari segi kepentingan sosial, ekonomi dan ekologi. Bagi menuju Wawasan 2020 yang merupakan impian dan visi semua rakyat Malaysia untuk menjadi sebuah negara perindustrian yang maju, kepentingan sektor pertanian tidak harus diketepikan malah perlu dibangunkan agar seiring dengan sektor perindustrian.Kepentingan sektor pertanian yang mampu memberikan keadilan sosial dapat dilihat melalui sumbangannya dalam meluaskan peluang pekerjaan dan sebagai sumber pendapatan utama kepada penduduk desa. Jurang kemiskinan dapat dirapatkan melalui pembangunan sektor ini. Majoriti masyarakat desa masih miskin dan ketinggalan, malah kehidupan mereka diumpamakan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Masalah ini dapat diatasi melalui pembangunan sektor pertanian dengan bantuan kerajaan dari segi pemodalan, kewangan, khidmat nasihat, teknologi, penyelidikan juga pembangunan. Hasil pertanian dapat dilipatgandakan melalui pembangunan sektor ini dan secara langsung menambahkan lagi peluang pekerjaan masyrakat desa dan meningkatkan pendapatan. Justeru, keadilan sosial dan pengagihan kekayaan yang seimbang dapat dicapai. Salah satu usaha kerajaan yang efektif ialah skim Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA). Melalui skim ini, tanah pertanian yang luas diagihkan mengikut nisbah yang sama rata kepada penduduk desa untuk dimajukan.
Selain itu, sektor pertanian merupakan bekalan bahan mentah yang amat penting kepada sektor ekonomi sekunder dalam pemprosesan makanan. Hasil pertanian merupakan input yang digunakan dalam proses pengeluaran bahan makanan yang boleh dijadikan sebagai produk eksport. Eksport makanan menggunakan hasil pertanian adalah seperti mentega, serbuk koko, serbuk lada hitam, berus dan sebagainya. Kos pengeluaran dapat diminimumkan untuk pengeluaran optimum kerana harga bahan mentah yang dibekalkam oleh sektor pertanian adalah murah berbanding dengan pasaran antarabangsa. Selain itu, hasil pertanian dapat disumbangkan oleh sektor utama adalah untuk kegunaan domestik rakyat sesebuah negara. Sebagai contoh, beras merupakan makanan asas penduduk Asia. Kita dapat menikmati harga makanan yang rendah, hasil sumbangan sektor ekonomi utama negara kita. Contoh yang lain kegunaan domestik hasil pertanian ialah minyak masak kelapa sawit berkualiti tinggi diperoleh dengan murah kerana didapati dalam pasaran tempatan.
Indeks imbangan perdagangan iaitu indeks harga hasil eksport dan belanja import dapat diseimbangkan untuk mengukuhkan lagi kedudukan kewangan negara kita melalui pembangunan sektor pertanian. Hal ini disebabkan hasil sektor pertanian dijadikan sebagai bahan eksport utama negara yang mendatangkan hasil yang lumayan seperti getah dan minyak kelapa sawit. Negara kita dengan bangganya pengeluar kedua terbesar di dunia bagi kedua-dua bahan tersebut kerana kecekapan kerajaan Malaysia dalam memajukan sektor ini. Kepentingan dari segi ini juga dapat dilihat melalui sumbangan sektor pertanian untuk menggantikan import negara. Dasar penggantian import diperkenalkan pada awal rancangan pembangunan Malaysia untuk mengurangkan import dari negara asing bagi bahan mentah sektor pertanian melalui pembangunan sektor ini. Sebagai contoh, buah-buahan merupakan bahan import utama negara kita. Untuk menggantikan import bahan-bahan ini, kerajaan telah mengambil langkah mempelbagaikan lagi tanaman buah-buahan melalui pembangunan yang dilakukan dalam sektor utama. Justeru, kedudukan kewangan negara dan struktur ekonomi yang kukuh dapat diwujudkan melalui kepelbagaian sektor ekonomi negara yang seimbang.
Kepentingan ekologi terutama dengan menjaga kepentingan alam sekitar melalui pembangunan sektor pertanian yang mesra alam dapat dilaksanakan. Tekanan ekonomi dan pasaran untuk bersaing dengan negara lain melalui peningkatan hasil negara atau tujuan pembangunan dan kemajuan dapat dicapai tanpa mengabaikan amanat Tuhan kepada manusia untuk memelihara dan memulihara alam sekitar. Pembangunan sektor pertanian dapat menjamin hasil yang lumayan dan punca pendapatan yang stabil tanpa mengakibatkan pencemaran alam yang teruk seperti pengaruh luar yang negatif daripada pembangunan perindustrian yang pesat. Sektor perindustrian yang dibangunkan menjejaskan keseimbangan ekologi melalui pencemaran perkilangan seperti pembebasan asap beracun, pembuangan sisa-sisa toksik ke sungai, kumbahan sisa kilang yang tidak bersistematik dan banyak lagi. Pembangunan sektor pertanian dapat menjaga kepentingan keseimbangan ekologi. Sektor pertanian melibatkan aktiviti-aktiviti seperti penanaman, penyuburan tanah, pembaikan struktur tanah dan sebagainya dapat menjamin hasil ekonomi yang lumayan di samping mengekalkan keseimbangan alam sekitar.
Untuk kepentingan hubungan yang harmoni dengan negara jiran terutamanya negara yang dilanda kemelesetan ekonomi dapat dijaga sekiranya sektor ekonomi utama dimajukan dengan pesat. Hal ini disebabkan peluang pekerjaan yang begitu luas dapat diwujudkan setelah berupaya menampung keperluan masyarakat desa dan masih mengalami kekurangan sumber tenaga manusia, buruh asing dari negara jiran yang susah boleh mencari nafkah di negara kita yang kaya ini. Selain dapat menjalin hubungan yang erat dengan negara jiran yang memerlukan bantuan, peperangan dapat dielakkan dan rantau yang aman dapat diwujudkan. Keadaan ini bukan sahaja dapat menjaga kepentingan diri malah kepentingan negara-negara yang berdekatan kerana rantau yang aman damai dapat menimbulkan keyakinan dan kepercayaan pelabur dan pelancong asing. Secara langsungnya, dapat meningkatkan lagi pendapatan negara malah mampu meningkatkan status negara kita.
3.0 Potensi bidang pertanian sebagai perniagaan yang menguntungkan
Pertanian merupakan tunggak asas kepada kehidupan manusia baik dari segi sumber makanan, kewangan dan ekonomi serta menjadi matlamat pengusaha pertanian bahawa setiap pelaburan yang dilakukan mampu memberi pulangan yang menguntungkan. Tumpuan kerajaan kepada sektor pertanian bukan satu langkah ke belakang, sebaliknya usaha dipergiatkan bagi menjadikan sektor ini sebagai perniagaan untuk jangka masa panjang. Dalam memajukan sektor pertanian, kerajaan telah melakukan perubahan, tidak lagi mengikut cara lama sebaliknya menggunakan bioteknologi dan teknologi moden bagi menambah nilai hasil pertanian negara.Kerajaan tidak melihat pertanian sebagai sektor yang mundur tetapi sebagai sektor industri yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara selain mengurangkan import makanan. Oleh yang demikian, kita perlu merubah tanggapan bahawa pertanian merupakan aktiviti ekonomi yang mempunyai sedikit nilai serta menjana pendapatan yang rendah kepada salah satu cabang perniagaan yang sangat berpotensi untuk dimajukan.
Sektor tani merupakan kegiataan utama ekonomi masyarakat luar bandar. Kaum bumiputera merupakan golongan tertinggi yang terlibat dalam perniagaan. Dengan itu, pembangunan sektor pertanian bukan setakat menjana sumber tumbuhan baru, malah dapat membantu usaha merapatkan jurang sosioekonomi di dalam negara. Kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan rantaian nilai serta meneroka aktiviti berasaskan pertanian yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi, perladangan komersial berskala besar dan menggunakan Teknologi Informasi dan Perhubungan (ICT) serta memanfaatkan sepenuhnya potensi dalam bioteknologi. Masyarakat tani pula perlu mengambil peluang yang tersedia ini bagi memajukan diri dan sektor pertanian keseluruhannya. Bioteknologi merupakan satu industri baru dan penting, berpotensi menjana sumber kekayaan baru. Usaha akan dipergiat bagi membangunkan industri bioteknologi sebagai peneraju baru pertumbuhan ekonomi. Tumpuan akan diberi kepada penggunaan bioteknologi dalam pertanian. Perjalanan untuk menjadikan sektor tersebut sebagai satu perniagaan memerlukan pembudayaan keusahawanan dalam pertanian supaya dapat melahirkan satu generasi usahawan tani bagi menerajui usaha merevolusikan sektor pengeluaran makanan.
Untuk berjaya di dalam bidang pertanian kita perlu ada role model petani-petani berjaya. Skala pertanian yang kecil masih menjadi masalah besar dan menghalang para petani meningkatkan pendapatan mereka. Petani harus bekerja pada skala ekonomi yang dapat meningkatkan pendapatan dengan mengkomersialkan usaha yang ada. Di sinilah letaknya peranan bank dan agensi berkaitan untuk membatu petani mengusahakan sektor pertanian secara komersial. Masyarakat tani perlu mengubah mentaliti dan pendapat selama ini bahawa hasil pengeluaran mereka hanya cukup untuk keperluan sendiri dan akan dijual sekiranya ada lebihan. Aspek kualiti bukan keutamaan dalam pengeluaran mereka. Mereka perlu yakin bahawa aktiviti pertanian masa kini bukan sekadar memenuhi keperluan sara hidup sahaja malah ianya satu perniagaan yang boleh memberikan kekayaan. Berdasarkan perkembangan semasa iaitu dengan penggunaan jentera, pentadbiran secara tradisional yang menghasilkan produktiviti rendah boleh ditingkatkan melalui teknologi sedia ada. Sektor pertanian yang sedang rancak dibangunkan oleh kerajaan meliputi industri asas tani yang ketika ini telah mencapai nilai ditambah dan berpotensi menyediakan 128,000 pekerjaan baru secara langsung dalam jangka masa lima tahun akan datang. Potensi sektor ini tiada batasannya jika diusahakan dengan teliti. Menjelang tahun 2020, sektor pertanian perlu berada di tahap kejayaan yang membantu membina imej sesebuah negara maju.
Untuk memastikan pertanian yang diusahakan menguntungkan, usahawan tani perlu sedia berubah terhadap cara berfikir, bertindak dan membuat keputusan sebagai seorang usahawan. Setiap perbelanjaan dan pendapatan direkod bagi mengetahui untung rugi sesuatu projek yang diusahakan. Trend pasaran, risiko dalam bidang pertanian, keadaan persekitaran, cuaca dan lain-lain yang berkaitan dengan faktor pengeluaran perlu sentiasa diberikan perhatian. Bagi memastikan bidang pertanian merupakan perniagaan yang menguntungkan dan mampu memberikan kekayaan, aspek kuantiti dan kualiti sentiasa dipertingkatkan. Kualiti produk yang dihasilkan akan menentukan harga pasaran hasil yang akan dijual. Bagi menambahkan lagi daya saing produk yang dihasilkan, proses nilai tambah seperti pemprosesan, penggredan, pembungkusan dan pemasaran perlu juga diberikan keutamaan. Pertanian dalam negara mampu berdaya saing sekiranya semua pengusaha dalam bidang pertanian turut mengambilkira program pensijilan yang diperkenalkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Pengusaha-pengusaha pertanian boleh mendapatkan pengiktirafan melalui pensijilan Amalan Pertanian Baik (APB) seperti sijil Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM) daripada Jabatan Pertanian Malaysia, Sijil Amalan Ladang Ternakan (SALT) daripada Jabatan Perkhidmatan Haiwan Malaysia dan Skim Pensijilan Ladang Akuakultur Malaysia (SPLAM) daripada Jabatan Perikanan Malaysia. Selain daripada produk yang dikeluarkan berkualiti dan selamat untuk dimakan, pensijilan diperolehi secara tidak langsung dapat menepati piawaian pengeluaran antarabangsa yang membolehkan hasil keluaran dipasarkan ke luar negara.
4.0 Cabaran dan halangan bidang perniagaan berasaskan pertanian
i. Masalah tenaga buruh
Masalah utama dalam pertanian ialah maalah tenaga buruh. Penghijrahan tenaga buruh dari sektor pertanian ke sektor bukan pertanian ini mengakibatkan kekurangan tenaga buruh di sektor pertanian. Mengikut kajian Persatuan Peladang Bersatu Malaysia (UPAM), bilangan ladang di Semenanjung Malaysia yang mengalami masalah tenaga buruh telah meningkat tahun demi tahun. Sektor ini kini masih menghadapi pelbagai cabaran, antaranya ialah tenaga kerja yang semakin tua, iaitu 21.4% adalah berumur 55 tahun ke atas. Saiz tanah yang diusahakan adalah kecil dan kurang ekonomik, iaitu 65% darlpada pesawah padi mempunyai saiz sawah kurang daripada satu hektar.
ii. Tanah terbiar
Pada tahun 1996, kekurangan tenaga buruh adalah salah satu faktor pengurangan keluasan tanaman getah. Keluasan tanaman getah dijangka berkurang sebanyak 10 ribu hektar, iaitu 6 ribu hektar di kebun kecil dan 4 ribu hektar bagi estet. Sektor pertanian menghadapi masalah tanah terbiar yang serius. Pada 1981, di Semenanjung Malaysia, tanah terbiar adalah seluas 890 000 hektar, iaitu terdiri daripada tanah sawah seluas 160 863 hektar dan tanah bukan sawah seluas 728 127 hektar. Keadaan ini telah berkurang pada tahun 1986, iaitu kepada 553 372 hektar yang terdiri daripada 125 256 hektar tanah sawah dan 428 117 hektar tanah bukan sawah. Pada 1987, tanah terbiar meningkat semula, iaitu kepada 654 413 hektar yang terdiri daripada 89 399 hektar tanah sawah dan 565 014 hektar tanah bukan sawah (Abd. Malik dan Mohaini, 1992). Pada 1990, tanah terbiar telah merosot kepada 57 597 hektar (Jabatan Pertanian Semenanjung Malaysia 1994).
iii. Cabaran di peringkat Luar Negara
Pada peringkat antarabangsa kedudukan sektor pertanian negara menjadi semakin mencabar dengan terbentuknya World Trade Organization (WTO) di mana liberalisasi perdagangan antarabangsa menyebabkan persaingan semakin sengit. Sektor pertanian negara terancam sekiranya tidak bersedia meningkatkan daya pengeluaran untuk memperolehi daya saing yang lebih tinggi. Semenjak krisis kewangan Asia pada tahun 1997, imbangan dagangan makanan telah mengalami defisit sebanyak RM4.7 bilion pada tahun 1997 berbanding dengan defisit RM2.2 bilion pada tahun 1994. Defisit imbangan dagangan ini terus meningkat dari tahun ke tahun, terutamanya pada tahun 2001 yang mencatatkan defisit RM5.7 billon. Penurunan nilai ringgit juga menyebabkan peningkatan harga import bagi input pertanian dan makanan dari setahun ke setahun. Keadaan ini telah menimbulkan kesan yang negatif terhadap perkembangan sektor pertanian negara.
Liberalisasi perdagangan di bawah WTO juga akan menyebabkan hasil pertanian negara menghadapi persaingan lebih sengit daripada negara-negara pengeluar yang lain yang mempunyai kelebihan kos pengeluaran yang. Import makanan negara turut meningkat setiap tahun kesan dari pertambahan bilangan dan taraf hidup penduduk. Pada tahun 1996, import makanan (termasuk makanan dan ternakan) dan input pertanian adalah RM10.5 bilion berbanding dengan RM4.6 bilion pada 1990. Pada tahun 1997 (Januari-Oktober) importnya adalah RM9.1 bilion. Malaysia mengalami defisit dalam perdagangan makanan (termasuk makanan binatang) dan input pertanian. Ini bermakna terdapat lebihan aliran keluar wang negara bagi membiayai import. Pada tahun 1996 eksportnya adalah sebanyak RM4.2 bilion, dan pada 1997 (Januari-Oktober 1997) adalah RM4.5 bilion. Ini bermakna defisit dalam perdagangan makanan dan input pertanian ialah RM6.3 bilion pada 1996, dan RM4.6 bilion pada 1997.
5.0 Sokongan dan bantuan kerajaan
Bagi memulihkan persepsi rakyat terutamanya generasi muda terhadap pertanian, kerajaan telah menyenaraikan banyak intensif dan kemudahan bagi mendorong mereka menyertai sektor pertanian ini. Pelbagai program pertanian yang bernafas baru dan berinovasi khusus untuk menambahkan produktiviti serta pendapatan petani di Malaysia telah diperkenalkan. Sejumlah wang telah diperuntukkan kepada sektor pertanian menerusi Bajet 2013 yang dibentangkan. Sejajar dengan ikrar kerajaan, sebanyak RM5.8 bilion telah diperuntukkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Kerajaan Malaysia juga telah menyediakan sebanyak RM30 juta bagi pembangunan program pertanian merangkumi aplikasi penggunaan teknologi tinggi dalam pengeluaran buah dan sayuran, peningkatan pembekalan benih berkualiti, penstabilan harga melalui jualan terus dari ladang, pewujudan pasar ikan rakyat serta penambahbaikan institusi latihan pertanian. Kerajaan juga telah mempersiapkan sebanyak RM75 juta bagi meningkatkan pengeluaran produk makanan dan kesihatan. Bagi membantu para petani mengurangkan kos pengeluaran pula, kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi dan insentif pertanian sedia ada berjumlah RM2.4 bilion. Bantuan ini termasuk subsidi dan insentif untuk sektor padi yang merangkumi Pemberian Subsidi Harga Padi sebanyak RM480 juta, Pemberian Subsidi Baja Padi sebanyak RM465 juta, Insentif Peningkatan Hasil Padi sebanyak RM80 juta, Insentif Pengeluaran Padi sebanyak RM563 juta, Subsidi Harga Beras bernilai RM528 juta dan Subsidi Benih Padi Sah sebanyak RM85 juta. Dengan adanya subsidi ini, kerajaan berharap agar ia dapat meringankan beban pengusaha ladang.
Di samping itu, kerajaan menggalakkan usahawan, petani dan pekebun kecil agar dapat mengoptimumkan amalan agronomi yang baru, pengurusan ladang secara moden, penggunaan jentera baru dan teknologi terkini serta menggiatkan Amalan Pertanian Baik (APB) atau juga dikenali sebagai Good Agricultural Practices (GAP). APB merupakan satu pendekatan dalam sistem pengembangan pertanian Jabatan Pertanian Malaysia bertujuan untuk memastikan pengeluaran hasil pertanian berkualiti dan selamat dimakan. APB merangkumi pengurusan ladang yang lebih mesra kepada alam sekitar. APB juga bertindak memastikan amalan-amalan yang dilaksanakan oleh pengusaha ladang semasa proses pengeluaran dan pengendalian hasil bagi ladang adalah berkualiti, produk yang dikeluarkan selamat dimakan dan tidak menimbulkan risiko kepada alam sekitar dan juga pekerja ladang. Kabinet Malaysia telah meluluskan Dasar Agro Makanan Negara (DAN) pada 28 September 2011, yang akan dijalankan selama 10 tahun (2011-2020). DAN dibentuk untuk menggantikan Dasar Pertanian Negara. Antara bidang keutamaan DAN adalah untuk mengembangkan industri ternakan, memodenkan industri perikanan, mengukuhkan industri padi dan beras, mempromosi agro pelancongan, meningkatkan industri asas tani, memacu pertumbuhan industri bernilai tinggi dan memperkukuhkan industri sayuran, buah-buahan dan kelapa. Beberapa pameran pertanian seperti Pameran Pertanian dan Agro Pelancongan (MAHA) anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diadakan dua tahun sekali bertujuan untuk mempromosi produk-produk pertanian yang diusahakan di Malaysia kepada masyarakat. MAHA juga memaparkan kejayaan sektor pertanian dan industri asas tani serta ternakan dari dalam dan luar negara daripada aspek teknologi dan inovasi. MAHA juga dijadikan platform untuk mendedahkan belia kepada bidang pertanian di samping memperkenalkan Malaysia sebagai hab pertanian dan industri asas tani untuk pelabur asing dan persendirian.
Selain itu, beberapa buah Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) seperti yang terdapat di Gopeng, Perak dan Wakaf Che Yeh, Kelantan juga telah dibuka. Ini merupakan kaedah pemasaran moden di mana RTC ini bertindak sebagai sebuah pusat integrasi perkhidmatan meliputi pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pengeluaran pertanian tempatan. RTC jug memainkan peranan sebagai pusat yang menghubungkan pengeluar dengan pengguna.
6.0 Kesimpulan
Kepesatan industri pertanian di sesebuah negara akan membawa keuntungan yang besar kepada negara itu sendiri. Bidang pertanian merupakan satu bidang perniagaan yang sangat menguntungkan dan diberi perhatian oleh pihak kerajaan. Kita mendapat banyak kebaikan daripada sektor pertanian. Tetapi ramai golongan muda yang lebih gemar mencari pekerjaan di bandar besar kerana peningkatan kegiatan perindustrian yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Namun, kerajaan telah bersungguh-sungguh untuk menjadikan tanah lapang yang subur sebagai tapak pertanian dan sedang menanti mereka untuk mengusahakannya. Justeru, kita hendaklah mengubah pandangan kita terhadap sektor pertanian kerana sektor ini sebenarnya mendatangkan banyak faedah. Di negara seperti Amerika Syarikat, Australia dan beberapa negara maju lain, golongan petani dipandang tinggi kerana mereka tergolong dalam golongan mereka yang kaya raya. Situasi ini mungkin boleh berlaku di negara kita. Negara kita Malaysia mempunyai tanah yang subur, bebas daripada bencana alam atau keadaan huru-hara yang boleh memusnahkan sebarang kegiatan ekonomi. Jika kelebihan ini tidak dimanfaatkan, bermakna kita telah mensia-siakan anugerah sumber perniagaan yang ada. Melalui strategi-strategi yang telah disusun oleh kerajaan demi untuk membantu masyarakat tani di Malaysia, ‘Pertanian adalah perniagaan’ sudah pasti akan dapat dilaksanakan sekiranya kita sama-sama mencari jalan untuk memperhebatkan bidang pertanian dengan cara menjadikannya sebagai salah satu sumber pendapatan kita. Marilah berbudi kepada tanah. Slogan ‘Pertanian Satu Perniagaan’ perlulah diselami maknanya dengan lebih mendalam.